Ikmal Hisham akui kesilapan

107

22 OGOS: Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, mengakui kelemahan di pihaknya berhubung cadangan permohonan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pharmaniaga membabitkan anaknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, berkata isu terbabit juga sudah dijelaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Memetik laporan BH Online, Ikmal Hisham kesal surat berkenaan tular dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, selain mengakui akan lebih berhati-hati selepas ini kerana kemungkinan juga berlaku salah faham dalam permasalahan berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan, bahawa saya sudah memaklumkan agar surat permohonan dibatalkan khususnya kepada pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) supaya tidak melantik anak saya dalam mana-mana pengurusan LTAT.

“Selain itu, saya akui ada beberapa kelemahan daripada pihak saya dan Insya-Allah, perkara ini akan diperbetulkan secepat mungkin. Sebenarnya surat yang diviralkan itu sudah lama, bertarikh 5 Jun, malah anak saya sudah dimaklumkan sebelum ini dia tidak dilantik.

“Saya terkejut apabila surat ini tular, tambahan pula berlaku sehari sebelum hari pemilihan, tetapi saya berfikiran positif dan beranggapan mungkin ia hanya kebetulan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas majlis Persidangan Bersatu Parlimen Tanah Merah, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan anak kepada timbalannya tidak dilantik sebagai sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.