Bung Moktar diminta selesaikan isu berbangkit

44

22 OGOS: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diminta bekerjasama dan melakukan pertemuan bersama pihak yang tidak berpuas hati dengannya bagi menyelesaikan isu pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah meminta Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, untuk bersemuka dengan semua kumpulan dalam parti itu bagi menyelesaikan konflik.

Menurut beliau, dengan penyelesaian konflik yang berlaku itu akan dapat memastikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan depan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat. Tetapi saya sudah meminta Bung Moktar untuk melakukan ‘engagement’ dengan semua pihak dalam dan luar parti supaya kemenangan memihak kepada kita.

“Hari ini, ada mesyuarat perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat itu mengenai beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon kita,” katanya selepas mengadakan ziarah kasih di FELDA Besout 2, Slim River, hari ini.

Terdahulu, beberapa Ketua UMNO Bahagian Sabah membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya UMNO pada PRN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN turut meminta agar Bung Mokhtar melakukan penyelarasan bersama semua Ketua Bahagian UMNO di Sabah, selain menumpukan kerjasama dengan parti lain, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita menjangka pada kali ini Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan diberikan tentangan oleh parti-parti berkenaan dan saya amat yakin koordinasi ini boleh dilakukan oleh Bung Moktar.

“Beliau (Bung Moktar) sudah bergerak ke lima zon di Sabah yang meliputi 73 kawasan DUN. Apa yang dilakukan untuk merapatkan barisan di Sabah, biarpun ada perbezaan pendapat.

“Semua pihak perlu merapatkan barisan kerana kemenangan bergantung kepada penyatuan pemikiran dan tindakan pelbagai pihak bukan sahaja di dalam UMNO tetapi dalam kalangan parti-parti politik di Sabah,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahmad Zahid berkata, BN mengambil pendekatan melawat rumah ke rumah memasuki minggu terakhir kempen.

“Semua pemimpin UMNO, Pas dan parti lain yang membantu kita menggunakan pendekatan sama,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.