Azmin Ali, penyokong sah sertai Bersatu

268

22 OGOS: Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi.

Penyerahan borang keahlian bekas Timbalan Presiden PKR itu diterima Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kongres Penggerak Komuniti Negara yang berlangsung di ibu negara sebentar tadi.

Turut bersama beliau menyertai Bersatu adalah seluruh Penggerak Komuniti Negara termasuk 10 Ahli Parlimen bekas PKR antaranya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada majlis, itu, Mohamed Azmin secara simbolik menerima kad keahlian Bersatu beliau yang diserahkan oleh Muhyiddin.

Menurut Mohamed Azmin, beliau bersama Penggerak Komuniti Negara di 222 Parlimen seluruh negara memilih menyertai Bersatu dan menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Katanya, keputusan mereka ini dibuat kerana memilih ‘Bersatu untuk Malaysia’.

“Dengan penuh rasa ikhlas dengan hati yang tulus pada petang yang keramat ini, saya bersama ketumbukan dari Perlis hingga ke Sabah, dengan ini kami mengisytiharkan untuk menyertai Bersatu.

“Dan kami menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia dan sekarang adalah masanya untuk Bersatu, Bersatu Untuk Malaysia,” katanya pada majlis tersebut.

Yang hadir sama pada majlis itu pemimpin tertinggi Bersatu termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi serta wakil pimpinan parti pendokong Kerajaan PN. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.