30 diambil tindakan gagal rekod pelanggan

63

22 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 86 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 75 individu telah dikompaun manakala 11 individu pula direman.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk melibatkan 30 kes, tidak memakai pelitup muka (dua), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (53) serta seorang pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebanyak 4,814 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,983 anggota telah membuat pemantauan di 3,988 pasar raya, 5,188 restoran serta 1,026 penjaja, 1,668 kilang, 3,617 bank dan 925 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,069 terminal pengangkutan darat, 243 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan akahbar hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng diadakan di seluruh negara semalam dengan 28,729 kenderaan diperiksa.

Katanya, ini bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terusmengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.

Beliau menambah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh Malaysia semalam yang melibatkan 35 anggota penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, sebuah lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala satu tapak binaan tidak beroperasi,” katanya.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,536 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,529 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Enam premis diberi nasihat, dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.