Vaksin Russia bakal diuji secara klinikal

44

21 OGOS: Russia akan memulakan ujian klinikal vaksin COVID-19 yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan saintis ke atas ribuan rakyatnya.

Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia, Kirill Dmitriyev, menerusi taklimat dalam talian menjelaskan, program vaksinasi ke atas kumpulan berisiko termasuk kakitangan perubatan akan bermula minggu depan secara sukarela.

Sehingga kini lebih 20 negara membuat tempahan pembelian lebih satu bilion dos vaksin, katanya, sambil menambah Russia telah mengadakan perjanjian dengan beberapa negara untuk menghasilkannya.

Beliau berkata, penghasilan vaksin secara besar-besaran di Russia dijangka bermula Oktober ini dan penghantaran ke negara luar dijangka pada November atau Disember.

Pada awal bulan ini, Presiden Vladimir Putin menyatakan Russia muncul negara pertama yang mendaftarkan vaksin COVID-19 dan ia disambut dengan sikap berhati-hati dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan vaksin itu memerlukan kajian yang lebih terperinci.

Pembiaya projek vaksin dalam satu kenyataan pada Khamis mengatakan ujian “imunogenisiti dan keselamatan vaksin Sputnik V” akan bermula minggu depan membabitkan lebih 40,000 orang.

Ujian itu setara dengan ujian fasa tiga yang sedang dilakukan oleh vaksin lain.

Nama vaksin itu diambil sempena satelit Soviet 1950-an yang mencetuskan keterujaan dalam kalangan rakyatnya tetapi mendapat amaran daripada saintis barat yang mendakwa Moscow bergerak terlalu cepat.

Bagaimanapun Dmitriyev mengatakan keraguan itu mulai reda.

“Kami telah melihat perubahan nada yang ketara daripada WHO. Pada mulanya, ya, mereka tidak mempunyai cukup maklumat mengenai vaksin Russia, kini maklumat rasmi telah dihantar dan mereka akan menilai,” katanya.

Russia merekodkan lebih 942,000 jangkitan COVID-19 pada Khamis, keempat tertinggi selepas Amerika Syarikat, Brazil dan India, dengan lebih 16,000 kematian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.