UMNO tiada masalah PAS sertai PN

61

21 OGOS: UMNO tiada masalah dengan keputusan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi parti penaja kepada penubuhan Perikatan Nasional (PN)

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana piagam Muafakat Nasional (MN), tidak mengikat kedua-dua parti berkenaan.

Malah, beliau berkata sehingga kini MN belum lagi lagi didaftarkan sebagai badan rasmi yang kini berteraskan kerjasama antara dua parti Melayu dan Islam itu.

“PAS sertai PN tiada apa-apa isu sebab PAS adalah parti PAS. Dalam MN kita tiada yang mengikat, jadi PAS boleh buat dalam PN dan siapa-siapa sahaja sebab MN pun bukan badan yang didaftarkan lagi. Kita dalam piagam tersebut adalah bekerjasama.

“Jika hendak daftar boleh, tidak daftar boleh. Yang penting di peringkat perpecahan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan dan PAS dapat bekerjasama pun alhamdulillah,” katanya dalam sidang media selepas program santai minum pagi bersama penduduk di Medan Arked Mara di Slim hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini yang menjelaskan pendirian parti itu terhadap PN apabila berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai perikatan tersebut bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Mohamad menambah, hasrat utama MN adalah agar orang Melayu jangan terlalu berpecah kepada banyak kumpulan yang akhirnya merugikan bangsa itu sendiri.

“PAS hendak kerjasama dengan parti mana tiada isu, UMNO telah buat pendirian tidak akan sertai PN dan PAS hormati pendirian dan kita hormati PAS.

“Saya harap orang tidak keliru kerana dalam kerajaan PN atau MN, sama-sama bekerjasama. Yang penting esok dalam PRU, kita cuba elak seboleh mungkin pertandingan tiga penjuru. Kalau ada (pertandingan), kita kalah, yang menang PH,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.