Surat persetujuan BERSATU diterima Selasa lalu

183

21 OGOS: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menghantar surat persetujuan untuk menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN) pada, Selasa lalu.

Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan jawapan berkenaan diterima Selasa lalu, susulan surat jemputan yang dihantar kepada BERSATU untuk menyertai gabungan MN, pada 13 Ogos lalu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata persetujuan berkenaan dicapai hasil mesyuarat dan perbincangan antara pemimpin MN yang dibuat pada 6 Ogos lalu.

“Itulah semangat syura, dibincang dan dipersetujui bersama oleh MN pada 6 Ogos. Perkara itu dilapor dalam Biro Politik dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) pada 7 Ogos.

“Surat dihantar pada 13 Ogos, (pada) 18 Ogos, kita terima surat setuju daripada Yang Amat Berhormat Presiden BERSATU,” katanya melalui laman Twitter beliau, malam tadi.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Twitternya semalam memaklumkan mengenai mesyuarat MN yang dipengerusikan bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk menjemput BERSATU menyertai MN.

“Saya dan Presiden PAS tandatangan surat jemputan kepada BERSATU berdasarkan kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” kata Ahmad Zahid.

Pada 15 Ogos lalu, Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

Muhyiddin berkata, beliau percaya bahawa penyertaan dalam MN adalah pilihan terbaik untuk parti itu kerana berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.

Mengulas lanjut, Annuar menjelaskan, UMNO dan PAS ketika membincangkan hala tuju MN seperti dalam perjanjian persefahaman (MoU) dan piagamnya sudah menyatakan komitmen untuk membawa pembabitan parti lain dalam memperkasa penyatuan ummah.

“Alhamdulillah, matlamat memperkasa MN secara organik seperti yang tercatat dalam perkara 2.2 MOU/piagam semakin berjaya,” katanya.

Beliau berkata, MN tidak dirancang untuk menjadi eksklusif, sebaliknya mesti membesar secara organik, didukung ummah secara melebar dan meluas.

“Politik norma baharu menuntut keterangkuman. Pihak yang berjaya membina muafakat dan tidak berpecah akan berjaya.

“Alhamdulillah, pimpinan UMNO dan PAS semakin mara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.