Kluster Maju dikesan di Kuala Lumpur

73

21 OGOS: Kluster baharu COVID-19 yang dinamakan Kluster Maju telah dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9176 dan kes ke-9177 telah dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

Menurut beliau, mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan.

“Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, tiga kes dikesan positif COVID-19 dan 669 individu negatif.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kedai makan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung perkembangan Kluster Tawar, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak tiga kes baharu kluster tersebut dilaporkan di Kedah justeru menjadikan jumlah keseluruhan 58 kes di bawah kluster tersebut.

“Sehingga 21 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,733 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya.

Di Kedah, sebanyak 2,256 kes disaring di mana 47 kes dikesan positif COVID-19, 1,985 individu negatif dan 224 individu masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang, sebanyak 466 kes disaring di mana 11 kes dikesan positif COVID-19, 430 individu negatif dan 25 individu masih menunggu keputusan.

Sebanyak 11 orang disaring di Perak dan kesemuanya negatif. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.