Jangan heret DBKU dalam agenda politik DAP

81

21 OGOS: DAP Sarawak dingatkan supaya tidak mengheret Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) dalam memenuhi agenda politik mereka, tegas Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata, tindakan menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa buah papan tanda jalan oleh Pemuda DAP Sarawak di sekitar bandar raya Kuching jelas satu perbuatan yang tidak peka dengan sentimen masyarakat majmuk di negeri itu.

Katanya, perbuatan DAP itu juga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

“DAP tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam (memenuhi kehendak agenda) politik mereka.

“Mereka tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang dilakukan (tanpa mengambil kira sensitiviti di antara kaum seperti) di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau mengulas tindakan sekumpulan ahli DAPSY Sarawak yang menampalkan pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman menambah tindakan itu dianggap vandalisme dan melanggar peraturan DBKU kerana ia tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Terdahulu, tindakan yang diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan telah mengundang pelbagai komen daripada netizen.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi dalam laman Facebook DAP Sarawak, pelekat tersebut ditampal pada papan tanda Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.

Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) menyifatkan tindakan DAP Sarawak itu sebagai tindakan terdesak menjelang PRN Sarawak Ke-12.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.