DPMM mohon lanjutan moratorium untuk semua

140

21 OGOS: Perbincangan lanjut dengan Bank Negara Malaysia (BNM) akan diadakan berhubung Penjadualan Semula /Penstrukturan Semula (R&R) yang telah dibuat sebelum ini bagi membantu usahawan bumiputera yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya juga akan berbincang supaya semua rekod peminjam bermasalah akibat COVID-19 tidak dimasukkan ke dalam Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

“BNM secara umumnya telah bersetuju membantu selepas 30 September ini (tarikh moratorium tamat secara umum) dan bersetuju moratorium itu dilanjutkan namun secara bersasar iaitu bukan semua akan mendapatnya.

“Namun kami berharap peluang sama dapat diberikan kepada semua usahawan bagi meringankan beban mereka yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

“Tempoh lanjutan moratorium penting untuk mereka memulihkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan, pada masa sama DPMM juga berharap agar BNM tidak mengambil kira rekod laporan CCRIS dan CTOS kerana ia berlaku bukanlah disebabkan kecuaian manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Penubuhan DPMM Pulau Pinang.

Norsyahrin turut menyarankan supaya peminjam dalam kalangan usahawan yang berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) diberi ‘bantuan’ sama iaitu tidak disenaraihitamkan.

Menurutnya, beliau khuatir peminjam akan menghadapi masalah membuat pinjaman pemulihan perniagaan mereka di masa hadapan terutama membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) jika mereka disenarai hitam.

“Sebenarnya lanjutan moratorium ini secara tidak langsung dapat memberi nafas baharu dalam membantu golongan usahawan yang terjejas teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Norsyahrin berkata DPMM menganggarkan lebih 53 peratus atau kira-kira 450,000 usahawan Melayu daripada keseluruhan 960,000 usahawan yang berdaftar dengan SME Corp terjejas susulan wabak COVID-19.

Beliau berkata daripada jumlah 450,000 itu pula, 70 peratus usahawan yang terlibat boleh dikategorikan sebagai usahawan Melayu yang menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.