DBKU buat laporan polis isu pelekat tulisan Cina

56

21 OGOS: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah membuat laporan polis terhadap Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak kerana menampal pelekat dalam tulisan Cina di beberapa papan tanda di sekitar bandar raya itu.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menegaskan, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 103 (3), Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 kerana mencacatkan nama di papan tanda nama jalan.

Menurut beliau, mereka juga telah melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil PBT (Kebersihan) 1999 kerana salah laku terhadap harta benda milik pihak berkuasa tempatan atau kerajaan.

“Tidak kira apa pun motif, sama ada tersurat ataupun tersirat, DBKU berharap mana-mana pihak tidak mengulangi tindakan yang jelas berbentuk provokatif dan menjejaskan keharmonian kaum di bandar raya Kuching, DBKU juga berharap pihak terbabit akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini,” katanya dalam sidang media di Kuching, hari ini.

Laporan polis dibuat dibuat di Balai Polis Sentral pada jam 3 petang semalam dan pihak DBKU juga telah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berhubung isu tersebut.

Abdul Rahman menambah, DBKU turut meminta DAPSY Sarawak membuat permohonan maaf secara terbuka.

Semalam, sekumpulan ahli DAPSY Sarawak didapati menampal pelekat dalam tulisan Cina pada beberapa papan tanda jalan di Kuching ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan yang tular di media sosial itu turut mengundang reaksi netizen yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.