DAPSY Sarawak tak mahu tanggal pelekat tulisan Cina

88

21 OGOS: Walaupun tindakan mereka menampal pelekat tulisan Cina pada papan tanda nama jalan di Kuching dikecam rakyat di seluruh negara, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak tetap berkeras tidak mahu menanggalkannya.

Ketuanya, Julian Tan berkata, mereka tidak akan berbuat demikian selagi tiada perintah atau arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau turut menyatakan, ahli-ahli DAPSY Kuching yang terlibat menampal pelekat tersebut tidak melakukan vandalisme.

“Apa yang DAPSY Sarawak lakukan adalah hanya untuk mengembalikan keadaannya seperti sedia kala.

“Isu papan tanda jalan tersebut sudah disuarakan kepada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan mereka tahu mengenainya,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post, hari ini.

Pelbagai pihak menyuarakan bantahan terhadap tindakan sekumpulan ahli DAPSY menampal pelekat tersebut pada papan tanda nama jalan di Kuching dan mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) Fazzrudin Abd Rahman menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap mereka sebelum ia mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat, sekali gus menguggat keharmonian kaum di Sarawak.

Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menegaskan, DAP Sarawak tidak sepatutnya mengheret Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU) dalam memenuhi agenda politik mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.