Abdul Ghani dilantik Pengerusi SPR

401

21 OGOS: Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi baharu suruhanjaya tersebut.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan media hari ini berkata, Abdul Ghani dilantik bagi menggantikan Datuk Azhar Azizan Harun yang kini memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurut beliau, pelantikan Abdul Ghani telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Ghani, 62, dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Selangor; Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR.

Mohd Zuki berkata, Seri Paduka turut berkenan melantik Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai Ahli SPR berkuat kuasa hari ini sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Nik Ali berusia 62 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya pada 1981 serta Ijazah Sarjana daripada University of Hull, United Kingdom pada 1991. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.