9 kes baharu COVID-19

58

21 OGOS: Sebanyak sembilan kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini adalah sebanyak 9,249 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 179 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

“Empat kes import tersebut adalah dari negara Filipina (1 kes di Kuala Lumpur), Austria (1 kes di Kuala Lumpur), Indonesia (1 kes di Selangor) dan India (1 kes di Selangor).

“Daripada lima kes penularan di dalam negara, empat adalah warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum pulang ke negara asal. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, kes penularan dalam kalangan rakyat tempatan pula berlaku di Kedah (3 kes Kluster Tawar dan Kuala Lumpur (1 kes Kluster Maju).

Dr Noor Hisham memberitahu, sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau, sebanyak 13 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,945 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.