UMNO bertemu kumpulan Rahman Dahlan petang ini

1,024

20 OGOS: Satu pertemuan antara kepemimpinan UMNO dengan kumpulan Ketua UMNO Bahagian Sabah yang diketuai Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan akan berlangsung petang ini di ibu negara.

Pertemuan berkait isu Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Annuar, pertemuan berkenaan juga berkemungkinan bakal dihadiri oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Berikutan itu Annuar meminta supaya semua ahli dan kepemimpinan UMNO supaya tidak bimbang kerana kemelut pemilihan Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Sabah, dijangka akan selesai.

“Jadi jangan bimbang kita akan selesaikan masalah keresahan saudara Rahman dan kawan-kawan dengan jam 5 petang ini, mereka sebahagian datang rumah saya, Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) pun mungkin akan singgah.

“Yang penting kita perlukan keputusan untuk rakyat menang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pembukaan Dobi ‘An Nazhif yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Abdul Rahman mengadakan sidang akhbar bersama sekumpulan Ketua UMNO Bahagian Sabah mahu pemimpin lain dilantik mengetuai jentera BN bagi PRN Sabah yang akan berlangsung bulan hadapan.

Annuar berkata, walaupun dilihat daripada sudut etika, ketidakpuasan hati diluahkan Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran menerusi sidang media sesuatu yang negatif tetapi beliau menganggap tindakan itu tidak salah.

“Kemungkinan daripada sudut etika dilihat negatif, tetapi dari sudut lain saya menganggap apa-apa keputusan dibuat akan ada pihak kurang berpuas hati, tidak salah menzahirkan rasa tidak puas hati dan selepas menzahirkan mereka harus tutup buku dan bekerja kerana keputusan mesti dibuat.

“Apa yang dilakukan sekarang ini adalah memberikan ‘endorsement’ kepada orang yang sedang memimpin, cuba kita bayangkan jika kita tukar orang di saat akhir yang sudah berkorban bersetia, tiba-tiba ‘time’ nak kenduri kita letak dia ke tepi, pastinya ada orang tak puas hati,” katanya.

Menurutnya, keputusan perlu dibuat dan sudah pun dibuat, apa yang penting kerjasama semua pihak.

“Tiada seorang pemimpin pun boleh bekerja jika tak dapat sokongan dan dokongan, akan ada satu keputusan yang semua orang akan senang hati.

“Bagi saya ambil secara positif (sidang media dilakukan) tidak salah untuk menzahirkan tidak bersetuju walaupun dari segi etika tidak berapa kena sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi, tetapi tidak mengapa kita tak perlu memperbesarkan, apa yang penting kerjasama untuk selamatkan rakyat Sabah daripada menjadi mangsa permainan politik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.