Tunggu kenyataan rasmi KKM

83

20 OGOS: Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu keggalan mematuhi kuarantin pulang dari luar negara yang dibangkitkan pembangkang terhadapnya.

Mohd Khairuddin ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu mengesahkan beliau sudah menjalani ujian saringan COVID-19 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegaskan sebagai anggota Kabinet, beliau akan akur dengan panduan dan peraturan serta arahan ditetapkan KKM.

“Tunggu sahaja kenyataan termasuk keputusan rasmi ujian COVID-19 dilakukan KKM. Sebagai menteri Kabinet yang bertanggungjawab, saya akan akur dengan apa juga kenyataan dikeluarkan KKM,” katanya ketika ditemui selepas dianugerahkan Pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di Kuala Terengganu, malam tadi.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika mengulas dakwaan beliau tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara yang menjadi isu panas dan perdebatan di Dewan Rakyat kelmarin juga dalam kalangan netizen di media sosial.

Terdahulu ketika membahas Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020) menjadi sedikit kecoh apabila Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mencelah perbahasan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mendakwa ada seorang menteri ke luar negara dan tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang.

Menurutnya, menteri berkenaan mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin juga menafikan beliau menjadi punca kepada penutupan sebuah masjid di Kuala Nerus berkuat kuasa semalam.

“Tiada kaitan. Tunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kita tidak mahu menimbulkan panik kepada rakyat dan insya-Allah pihak kementerian akan buat yang terbaik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.