Sifar jangkitan tempatan, lima kes import

217

20 OGOS: Buat kali pertama selepas lebih sebulan, jangkitan tempatan mencatatkan angka sifar hari ini apabila kesemua lima kes positif COVID yang dilaporkan merupakan kes import.

Daripada jumlah itu, empat kes dikesan melibatkan saringan ke atas krew sebuah kapal di Bintulu sekali gus mencatatkan satu kluster import yang baru yang dikenali sebagai kluster Alam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terpencil itu dikenal pasti di sebuah kapal di Bintulu dengan kluster ini dikesan susulan saringan COVID-19 yang telah dijalankan ke atas lima orang kakitangan kapal tersebut yang mengalami gejala.

Katanya, daripada jumlah tersebut, empat orang didapati positif COVID-19 dan seorang masih menunggu keputusan pengesahan makmal.

“Kesemua kes positif ini merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara. Kapal di mana mereka bertugas ini mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun.

“Mereka sedang dirawat di Hospital Bintulu, Sarawak. Justeru, kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat sedang dijalankan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sifar kes tempatan kali terakhir dilaporkan pertengahan bulan lalu dan kebelakangan ini, kes-kes baru banyak dilaporkan di utara Semenanjung khususnya Kedah yang mempunyai empat kluster aktif iaitu Sivagangga, Tawar, Sala dan Muda.

Bagaimanapun tiada kes dilaporkan hari ini daripada kluster berkenaan.

Dalam pada itu menurut Noor Hisham, satu lagi kes yang dilaporkan adalah di Selangor melibatkan jangkitan dari Bangladesh.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai agar kekal waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian,” jelasnya.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak tujuh kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan kes positif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 183 kes.

“Hari ini juga tiada pertambahan kes kematian manakala tujuh pesakit dilaporkan menerima rawatan di Uit Rawatan Rapi (ICU) manakala empat memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.