Rangka strategi tingkat eksport minyak sawit ke Iran

70

20 OGOS: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan merangka strategi bagi meningkatkan semula eksport minyak sawit ke Iran yang ketika ini menunjukkan penurunan berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, COVID-19 juga memberi kesan ketara kepada industri tempatan dengan nilai perdagangan dan eksport sawit ke negara tersebut kelihatan menguncup.

Beliau berkata, strategi yang mengandungi beberapa cadangan itu kemudiannya akan dimaklumkan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi meningkatkan nilai eksport ke Iran.

“Pada 2019, Malaysia mengeksport sebanyak 575,127 tan produk berasaskan sawit dengan nilai RM1.368 bilion ke Iran dengan pecahan seperti minyak sawit sebanyak 521,669 tan, minyak isirung sawit (26,924 tan), oleokimia (11,600 tan) dan produk siap sawit (14,934 tan).

“Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020, nilai eksport adalah sebanyak 74,084 tan dengan penguncupan sebanyak 73.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Jazlan memberitahu, menerusi pengecualian duti eksport yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, nilai dagangan pasti dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. 

Beliau menambah, pengecualian duti itu juga merupakan satu langkah yang baik oleh pihak kerajaan dalam membantu rakyat yang terlibat secara langsung dengan industri sawit di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.