PKR guna logo sendiri, tolak pakai lambang Warisan

221

20 OGOS: PKR memutuskan menggunakan lambang parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan 26 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memang ada cadangan sebelum ini agar Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menggunakan satu logo.

“Tetapi PKR memutuskan untuk menggunakan lambang PKR,” katanya kepada media selepas majlis penerimaan borang keanggotaan menyertai PKR di Port Dickson, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu satu rundingan akan dibuat oleh PH dan Warisan bagi memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding di PRN Sabah.

“Dalam tradisi kita memang rundingan diteruskan supaya ada konsensus pembahagian yang adil dan PRK akan tentukan calon kita yang mempunyai kelayakan dan berwibawa,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew menyatakan gabungan itu bersedia mempertimbangkan cadangan penggunaan logo Warisan untuk gabungan itu bertanding pada PRN Sabah.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September manakala tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11:59 malam 25 September ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.