Jentera MCA bersemangat tinggi untuk kemenangan BN

65

20 OGOS: MCA menyatakan harapan kepada pengundi Cina agar memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan memberi tumpuan jentera kempennya di Kampung Baru di sini yang dianggarkan jumlah pengundi cina di antara 85 hingga 90 peratus.

Menurut beliau, ahli-ahli MCA akan bertungkus-lumus untuk membantu BN kerana sebagai parti komponen, pihaknya mahu memastikan kemenangan kepada calon parti itu.

“Semangat yang kita terap ini sejak penubuhan Perikatan dan ditukar menjadi BN pada 1974.

“Semangat kebersamaan itu tetap ada dan masih berkobar untuk pastikan rakan dalam BN mencapai kemenangan. Itu semangat yang ditonjolkan dalam BN selama ini,” katanya kepada media selepas meninjau tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (PAK) hari ini.

Beliau turut yakin berkat usaha semua pihak tidak kira rakan komponen BN atau Kerajaan Perikatan Nasional yang turun membantu di Slim akan memberikan satu petanda baik.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu pihak PAK telah bersetuju untuk membuka jalan di atas tanah itu bagi menghubung laluan singkat kepada penduduk sekitar.

Beliau turut melawat melawat kawasan hilir parit di kawasan itu yang sering dinaiki air apabila hujan lebat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.