Hijrah didik buat kerja seharian dengan baik

24

20 OGOS: Seorang Muslim harus sentiasa berhemah dan berdisiplin dalam melaksanakan tugas harian, seiring dengan hijrah Rasulullah yang mampu memberi impak bermanfaat kepada masyarakat dan tidak hanya berdasarkan teori semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hijrah mendidik umat Islam untuk melakukan kerja dengan baik yang secara tidak langsung memberi makna kepada kepentingan umat Islam meninggalkan perkara yang dilarang dan melakukan perintah Tuhan.

Menurut beliau, hijrah juga sudah banyak mengajar umat Islam untuk membumikan gerak kerja agar dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat.

“Kita tidak mahu berteori dalam kehidupan bekerja kita. Matlamat bagi Muslim dalam setiap kerjanya adalah melaksanakannya dengan berhemah dan berdisiplin tinggi.

“Individu yang berjaya adalah individu yang sentiasa bersedia dan ada persediaan. Persediaan pula hendaklah rapi dan tersusun; bersifat sistemik dan sistematik,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1442H /2020M di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli turut memetik kata-kata Saidina Abu Bakar Al-Siddiq sebagai contoh yang tidak berfikir lama untuk membuat keputusan bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa hijrah.

Beliau menambah, pelbagai pengajaran dalam peristiwa sejarah ini termasuklah juga tidak mudah berputus asa.

“Saya menyeru umat Islam untuk sentiasa lihat ke hadapan tanpa berputus asa, bersungguh-sungguh demi Islam, agama dan negara keseluruhannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.