Kerajaan DAP main politik isu pelancong perubatan?

71

20 OGOS: Bantahan kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap kemasukan pelancong perubatan dari Indonesia didakwa bersifat afterthought atau difikir kemudian iaitu hanya selepas isu itu mendapat respons negatif di media sosial.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini berikutan kerajaan kerajaan negeri berpeluang menyatakan bantahan kepada pihak berkuasa kerana mereka mempunyai pengetahuan hal tersebut.

Katanya, mereka seharusnya mengemukakan syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan akhir, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Sarawak sebelum ini.

“Kerajaan negeri langsung tidak membantah mana-mana jabatan yang relevan sebaliknya hanya ‘kecoh’ selepas ianya berlaku atau “afterthought”, bukankah ini pertunjukan politik?,” katanya dalam kenyaatan hari ini.

Menurut Ka Siong, Exco negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin ada mengatakan bahawa kerajaan negeri melarang penerbangan perubatan daripada memasuki Pulau Pinang.

Katanya, seorang lagi exco negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin juga mengatakan bahawa beliau membantah penerbangan perubatan dari Indonesia pada mesyuarat exco negeri dan mesyuarat majlis khas keselamatan negara.

“Kedua-dua mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan pada mulanya beliau memuji pencapaian negeri tersebut dalam sektor pelancongan kesihatan pasca Covid-19, akan tetapi kenyataan beliau tidak diterima baik oleh rakyat Pulau Pinang.

“Pada malam itu juga, Chow berubah nada dan mengatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai penerbangan sewa bagi tujuan perubatan. Adakah kerajaan negeri menyedari masalah ini atau tidak?,” jelasnya.

Menjelaskan isu itu, Ka Siong berkata, lima pelancong tersebut tiba di Pulau Pinang dari Medan dengan perkhidmatan penerbangan sewa khas bagi tujuan perubatan dan mereka telah memenuhi SOP yang ketat sebelum memasuki Malaysia.

Katanya, ini termasuklah kuarantin wajib dan ujian mengikut standard kesihatan serta perubatan antarabangsa yang mana semua ini adalah untuk memastikan pelancong kesihatan bebas daripada COVID-19 dan mereka hanya dibenarkan masuk ke negara ini melalui perkhidmatan penerbangan sewa khas.

Ujar beliau, Malaysia membenarkan penerbangan bagi tujuan perubatan mendarat di negara ini mengikut SOP yang ditetapkan oleh MKN dan hanya membenarkan penerbangan yang disewa sahaja memasuki negara ini, dengan dikenakan syarat ketat.

“Tuduhan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Wong Yuee Harng bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) secara sebelah pihak membenarkan penerbangan sewa memasuki negara ini sama sekali mengelirukan.

“Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Jabatan Imigresen telah membenarkan penerbangan sewa dari Indonesia tersebut mendarat setelah memenuhi SOP.

“Namun jika kerajaan negeri Pulau Pinang melarang penerbangan tersebut daripada memasuki negara ini, mereka seharusnya mengemukakan syor kepada MKN untuk membuat keputusan akhir, sama seperti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Sarawak sebelum ini.

“Namun, CAAM tidak menerima pemakluman larangan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga tidak menerima arahan daripada MKN,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.