24 individu ditahan melacur semasa PKP

86

19 OGOS: Sebanyak 24 individu ditahan polis semalam kerana menjalankan aktiviti pelacuran yang merupakan salah satu aktviti yang menyalahi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan, seramai 117 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ingkar arahan PKP.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 91 individu dikompaun manakala 26 individu direman.

“Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (8), premis beroperasi lebih masa (2) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (46),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung Operasi Benteng semalam, beliau memberitahu, PDRM telah mengadakan 64 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 25,333 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ismail Sabri menyatakan, tiada tangkapan berkaitan kesalahan imigresen semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 19 Ogos 2020, seramai 14,048 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 62 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Labuan dan Kedah.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 6,316 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Semalam, pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 992 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 980 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 11 premis diberi nasihat dan satu premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.