Vaksin COVID-19 dicadang diberi secara percuma

70

19 OGOS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencadangkan vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan pelbagai pihak diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan ini telah disuarakan kepada Kabinet bahawa rakyat perlu diberikan secara percuma sebaik vaksin berkenaan ditemui dan bekalannya diperoleh.

“Kabinet belum memutuskan perkara berkenaan, tetapi saya mencadangkan kepada Kabinet, sebaik kita mendapatkan bekalan vaksin COVID-19, ia diberi secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di Cyberjaya hari ini.

Khairy berkata, selain dari China, Malaysia turut melihat negara pengeluar vaksin lain yang dapat menghasilkan vaksin yang selamat dan berkesan dengan kos berpatutan.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan sedang mendapatkan data dari ujian klinikal sebelum kami bersetuju untuk membeli vaksin berkenaan.

“Melalui data itu, kita dapat memastikan sama ada vaksin berkenaan selamat dan berkesan atau tidak,” katanya.

Khairy berkata MOSTI telah diberi mandat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan rundingan terus dengan pembekal vaksin bagi mendapatkan kos yang berpatutan.

Bagaimanapun, Khairy melahirkan kebimbangan tentang akses terhadap vaksin berkenaan khususnya bagi negara-negara membangun seperti Malaysia, kerana terdapat syarikat farmasi yang cenderung mengunci pembelian dengan negara-negara besar.

“Kami tidak suka melihat terdapat negara-negara tertentu melakukan pembelian awal dengan syarikat farmasi, memonopoli pembelian vaksin. Tetapi ia terjadi pada hari ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.