Tiada laporan kesalahan PRK setakat ini

46

19 OGOS: Pengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim diingatkan supaya tidak merakam gambar kertas undi yang telah dipangkah dan menularkannya di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan 19 (8), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, sekiranya perbuatan itu dilakukan.

“Perkara itu tidak sepatutnya dilakukan kerana undi itu rahsia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan 44 unit kenderaan peronda polis (MPV) baharu Honda Civic 1.8 bagi Kontinjen Polis Perak\ hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Selasa depan sebagai hari pengundian awal membabitkan 277 pengundi terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka.

Mengulas lanjut mengenai PRK DUN Slim, Razarudin berkata, tiada laporan berkaitan kesalahan berkempen diterima setakat ini.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz serta dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S. Santharasekaran.

Mengenai penambahan 44 unit MPV baharu itu, Razarudin berkata kontinjen Perak kini mempunyai 288 MPV dan mampu melakukan penugasan sepenuhnya termasuk rondaan pemantauan dan pencegahan jenayah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.