Syed Saddiq tuduh Mahathir sebar cerita dongeng?

340

Oleh: DATUK DR MOHD PUAD ZARKASHI

Belum terlambat untuk mengulas tulisan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai Lim Guan Eng dan DAP dalam Malaysiakini bertarikh 14 Ogos 2020.

Syed Saddiq mengaku dia terpesona dengan dongeng dan fiksyen sejak umur muda bahawa DAP adalah pencabul hak Melayu.

Dia juga percaya supaya orang Melayu berwaspada terhadap Lim Guan Eng. DAP akan menggigit hak Melayu di belakang mereka dan kemudian meludahnya.

MOHD PUAD ZARKASHI

Syed Saddiq mungkin menulisnya sebagai tanda solidariti kerana Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah atas tuduhan rasuah.

Sebenarnya Syed Saddiq lupa tiga perkara sama ada cerita DAP itu dongeng atau benar.

Pertama, lupakah Syed Saddiq yang menjaja cerita DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu jahat adalah mentornya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kalau tidak percaya, Syed Saddiq kena istihar Tun Mahathir adalah penjahat kerana membawa cerita dongeng selama 22 tahun. Ada berani?

Syed Saddiq nampak bijak dan pernah jadi Menteri. Dia boleh rujuk dokumen Mahathir selama 22 tahun itu. Sejarah tidak berbohong.

Kedua, kalau DAP dan Guan Eng itu bagus sangat sudah tentu dalam tempoh 22 bulan PH memerintah keyakinan orang Melayu akan meningkat terhadap DAP.

Tetapi sebaliknya ia mendedahkan lagi tembelang sebenar DAP dan Lim Guan Eng.

Rakyat nampak. Sebab itu Pakatan Harapan (PH) dihukum dalam enam pilhan raya kecil (PRK) terakhir. Akhirnya kerajaan PH hanya bertahan untuk 22 bulan sahaja.

Ketiga, sebenarnya Dr Mahathir konsisten mengatakan DAP adalah jahat dan rasis. Mahathir hanya berlakon memuji kebaikan DAP untuk mendapatkan kuasa semata-mata.

Setelah menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan berkuasa dia berlakon pula untuk menendang DAP dan menggagalkan mimpi Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

Yang penting jawatan Perdana Menteri kekal milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa perlu ada DAP dan Anwar.

Kesian Syed Saddiq, dia belum belajar sepenuhnya ‘ilmu muslihat’ daripada atoknya ‘yang mana betul yang mana dongeng’.

Itu pentingnya kiasan ‘saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan’.

Penulis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.