SPRM gagal lucut hak wang dikait 1MDB dari SUPP

344

19 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal dalam permohonannya untuk melucut hak RM188,138.26 yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang disita daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang menolak permohonan itu hari ini.

Semasa menolak permohonan SPRM itu, Ahmad Shahrir seperti dilaporkan Bernama berkata mahkamah mendapati suruhanjaya itu tidak mengemukakan keterangan mencukupi untuk menyokong permohonannya bagi mahkamah mengeluarkan perintah untuk membenarkan pelucuthakan itu.

Beliau berkata berdasarkan keseimbangan kebarangkalian, pemohon (SPRM) tidak berjaya membuktikan syarat di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), bagi sejumlah RM188,138.26 dalam akaun SUPP untuk dilucut hak.

“Sehubungan itu, saya dengan ini menolak permohonan ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Abdul Rashid Sulaiman berkata pihak pendakwaan akan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

SUPP diwakili peguam Michael Chow.

Pada Jun tahun lepas, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata SPRM akan memfailkan saman sivil pelucuthakan terhadap 41 responden untuk melucut hak kira-kira RM270 juta didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1MDB dan diterima oleh para responden daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.