Semangat Hijrah atasi cabaran COVID-19

114

19 OGOS: Semangat dan pengajaran daripada peristiwa Hijrah Rasulullah seharusnya memberi kekuatan kepada semua dalam mendepani cabaran COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini terutama dalam usaha memulihkan ekonomi akibat wabak itu yang masih belum berakhir.

“Pada tahun ini, kita meraikan sambutan Maal Hijrah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang dijangka tamat pada 31 Ogos 2020.

“Sambutan tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun semangat dan pengajarannya tetap memberikan kita kekuatan khususnya dalam mendepani cabaran wabak COVID-19 yang masih belum berakhir dan usaha memulihkan ekonomi negara,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata demikian dalam hantaran di Facebook beliau sempena sambutan Awal Muharam.

Kata Muhyiddin, tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu Ummah Rabbani Negara Harmoni memberi penekanan kepada pembangunan negara yang seiring dengan konsep “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, iaitu Negara Baik yang mendapat Pengampunan Tuhan.

Beliau berkata, pendekatan ini menekankan niat mencari keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam mengekalkan Malaysia sebagai negara maju, aman dan harmoni.

“Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selepas terbenamnya matahari 1441 hijrah sebentar nanti, menandakan masuk tahun baharu, permulaan baharu di dalam kalendar Islam iaitu 1442 hijrah.

“Saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam di negara ini. Saya doakan kita semua dapat mengambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya dan semoga hijrah kita akan dinilai dan diberi ganjaran di sisi-Nya. Insya-Allah,” jelasnya.

Menerusi hantaran itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan Islam dalam negara ini.

“Kepada bakal tokoh-tokoh Maal Hijrah yang akan diumumkan nanti, tahniah saya ucapkan atas sumbangan dan bakti anda dalam menegakkan syiar Islam,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.