RUU IPCMC ditarik balik – Takiyudddin

608

19 OGOS: Kerajaan akan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 daripada dibentangkan di Parlimen, pada 26 Ogos.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parliamen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau sendiri akan mengemukakan usul penarikan RUU berkenaan  bagi membolehkan Kementerian Dalam Negeri menggantikannya dengan suatu undang-undang baharu.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu berkata kerajaan terpaksa menarik balik pembentangan RUU IPCMC berikutan ia mendapat tentang hebat daripada majoriti anggota dan pegawai polis.

“RUU baharu berkenaan mempunyai maksud dan tujuan sama seperti IPCMC tetapi sudah diubah suai dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Jadi saya akan kemukakan usul tarik balik RUU IPCMC pada 26 Ogos ini dan RUU baharu akan dibentangkan ke Dewan Rakyat untuk bacaan pertama pada hari sama.

“Bagaimanapun saya tidak boleh memberikan maklumat terperinci mengenai RUU baharu kerana ia belum dibentangkan ke Parlimen, ” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) di Putrajaya di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata keputusan penarikan balik RUU IPCMC adalah keputusan kerajaan hari ini.

Beliau berkata pembentangan RUU baharu berkenaan membolehkan kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya yang bakal berfungsi hampir sama dengan IPCMC.

“Berbeza dengan IPCMC yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, RUU baharu ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Sebelum ini kerajaan bercadang mewujudkan IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RUU itu menyatakan fungsi IPCMC untuk menggalakkan integriti dalam kalangan anggota polis.

Selain itu, IPCMC berfungsi melindungi kepentingan orang awam melalui pencegahan dan menangani salah laku anggota polis.

IPCMC juga berfungsi membentuk dan mengadakan mekanisme bagi mengawas, menyiasat dan mencegah salah laku anggota polis.

Suruhanjaya itu juga akan menasihatkan kerajaan dan membuat syor berhubung langkah yang sesuai untuk diambil dalam menggalakkan integriti dalam polis.

Selain itu, suruhanjaya berkenaan menjalankan kawalan tatatertib terhadap semua anggota polis mengikut apa saja cara yang diperuntukkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.