Penyatuan ummah lengkap dengan penyertaan BERSATU

104

19 OGOS: Penyatuan ummah dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan UMNO dan PAS ketika ini akan menjadi lengkap apabila disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, keputusan BERSATU untuk menyertai MN seharusnya dialu-alukan.

Menurut beliau, sikap keterbukaan itu mesti difahamkan dan diperluaskan kepada seluruh umat Islam di negara ini tanpa dihadkan kepada golongan tertentu sahaja.

“Sesiapa sahaja yang ingin bersama atas kehendak membangunkan negara, mengembalikan kesejahteraan, mengiktiraf hak masing-masing dan kaum seperti termaktub dan diiktiraf Perlembagaan, mesti diterima.

“Pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepatutnya menyedarkan umat betapa terdapatnya ancaman ke atas Melayu-Islam dan kestabilan politik menjadikan masa depan negara berada dalam keadaan tidak teratur dan pincang,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.

Beliau turut menyatakan, penyertaan parti itu dalam satu jemaah besar menerusi MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.