Penduduk Napoh saman pemilik kedai nasi kandar

38

19 OGOS: Seramai 200 penduduk sekitar Napoh memfailkan saman ke atas pemilik Nasi Kandar Salleh di Mahkamah Tinggi Alor Setar, hari ini, kerana menyebabkan penularan pandemik COVID-19.

Saman itu difailkan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) yang mewakili penduduk terhadap Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57, bagi menuntut ganti rugi RM1.5 juta.

Saman sivil terhadap warganegara India itu berikutan dia dikatakan punca kluster COVID-19 Sivagangga.

CAKE turut memohon injuksi interim bagi menghalang Nezar Mohamed daripada keluar mukim Napoh di Kubang Pasu, Kedah atau keluar negara sehingga kes selesai.

Peguam CAKE, Mohammad Zunun Baihakky berkata, penuntut terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja, dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (Temco) yang dikuatkuasakan selepas Nezar ingkar arahan kuarantin wajib 14 hari sekembalinya dari India.

Penuntut lain termasuklah Jawatankuasa Peniaga RTC Pekan Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh, serta dua persatuan penduduk di Napoh.

Zunun berkata CAKE menuntut ganti rugi am, teladan, teruk, dan nominal bagi lebih kurang 200 individu dan 5 badan bukan kerajaan (NGO).

.Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan, kluster Sivagangga bermula di Napoh selepas seorang lelaki India pemastautin tetap ingkar terhadap arahan kuarantin wajib sekembalinya dari lawatan ke Sivagangga, sebuah pekan di Tamil Nadu.

Empat mukim di Kubang Pasu diletakkan bawah arahan Temco, dan restoran terbabit ditutup sehingga hujung bulan.

Minggu lalu, lelaki berkenaan dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan ingkar arahan kuarantin kendiri pada 14 Julai.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.