MIDA, Axiomtek jalin perkongsian bantu PKS

49

19 OGOS: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menjalinkan perkongsian dengan Axiomtek untuk membantu syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan meningkatkan rantaian nilai.

Axiomtek, sebuah syarikat yang berpangkalan di Taiwan, melancarkan ‘AI Starter Kit’ semalam untuk mendorong negara ini menuju Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

“Axiomtek Starter Kit adalah penyelesaian AI yang berpatutan dan praktikal dengan perkakasan dan perisian bersepadu.

“Ia adalah pakej aplikasi tersedia dengan ciri ‘plug-and-play’ untuk memudahkan pelaksanaan pelbagai fungsi operasi seperti automasi industri, peruncitan, dan juga aplikasi kota pintar,” kata MIDA dalam satu kenyataan.

Axiomtek adalah syarikat reka bentuk dan pembuatan terkemuka dalam industri komputer.

Selain itu, MIDA berkata, pelancaran itu adalah permulaan program strategik yang akan dilaksanakan secara berperingkat untuk membolehkan pelaksanaan dan penggunaan teknologi AI berjalan dengan lancar dalam ekosistem industri Malaysia.

Antara penerima aplikasi yang disasarkan itu ialah PKS, syarikat tempatan, dan juga syarikat multinasional dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Program itu juga bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem bakat di Malaysia melalui kerjasama yang berpotensi dengan universiti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.