Mengapa Shafie diam bila Filipina tuntut Sabah?

118

19 OGOS: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mempersoalkan tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang lebih mengutamakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding isu tuntutan Filipina terhadap Sabah baru-baru ini.

Menurut beliau, ramai rakyat Sabah yang bimbang apabila Mohd Shafie dilihat lebih gemar berdiam diri dalam isu tersebut.

Anifah juga hairan apabila Ahli Parlimen Semporna itu seolah-olah cuba mempertahankan diri dengan mengalihkan beban kepada pihak lain.

“Saya tidak faham mengapa pula Mohd Shafie menyoal saya, adakah kerana bertanya mengapa beliau diam? Ini bukan sesi soal jawab, ini soal kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Sabah.

“Sebagai Ketua Menteri yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab, sepatutnya anda jawab Locsin, anda mempunyai tanggungjawab besar kepada rakyat kita yang cukup terganggu dengan kenyataan Filipina.

“Tetapi anda pula mendiamkan diri dalam isu tersebut. Saya tidak berminat dengan kamu mahupun kerajaan lakukan dalam perkara ini, saya tanya soalan mengapa diam dalam isu ini,” katanya seperti dipetik dari laporan MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau turut meminta Mohd Shafie agar tidak cuba berdolak dalih dan bercakap benar dalam isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

“Janganlah bercerita tentang kamu buat itu dan ini, rakyat Sabah hendak mengapakah kamu diam sahaja ketika negara asing buat tuntutan mengarut seperti ini. Mengapa pula VK Liew yang buat jawab? Itu sahaja, mudah bukan?

“Mengapa dolak dalih, apa kamu cakap sememangnya betul, rakyat Sabah tidak ‘bodoh’ seperti yang kamu cakap sendiri semalam, mereka nampak. Kamu boleh cakap macam-macam, tapi mereka sedang lihat semuanya,” katanya.

Anifah melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan sikap ditonjolkan oleh Mohd Shafie yang seolah-olah memperkecilkan isu tuntutan Filipina itu.

Beliau mengakui bersuara sangat lantang bukan sahaja dalam isu tersebut malah berperanan penting ketika rundingan damai Bangsamoro pada 2016.

“Rundingan yang cukup penting di tengah-tengah pergolakan di Mindanao. Seandainya anda mahu beritahu tentang peranan saya, mungkin panjang sekali senarainya. Macam-macam saya buat dan mungkin ada yang Shafie tidak tahu langsung.

“Tapi itu tidak penting, yang penting adalah persoalan mengapa ada Ketua Menteri yang diam sahaja ketika ada pihak asing menuntut negeri kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.