Kluster Tawar bertambah jadi 55 kes

81

19 OGOS: Sebelas daripada 12 kes tempatan COVID-19 hari ini dilaporkan daripada kluster Tawar dan Sala di Kedah dan Pulau Pinang.

Dengan pertambahan kes baru sebanyak empat di Kedah dan empat di Pulau Pinang, Kluster Tawar kini mencatatkan 55 jangkitan COVID-19 sejak mula dilaporkan awal bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya empat kes import dan 12 jangkitan tempatan dilaporkan hari ini dengan tujuh kes di Kedah, Pulau Pinang empat dan Johor satu.

Katanya, di Kedah, empat kes daripada kluster Tawar manakala Sala pula melaporkan tiga lagi kes baru yang keseluruhannya berjumlah 11 kes.

“Empat kes yang dilapor di Pulau Pinang pula kesemuanya melibatkan kluster Tawar manakala satu lagi jangkitan tempatan dikesan di Johor melibatkan saringan sign on kapal yang kini dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom.

“Kesemua empat kes import pula melibatkan bukan warganegara dengan tiga ketibaan dari Bangladesh dan satu Filipina,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan dengan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Katanya, setakat ini lebih 500 orang dari dua kluster itu masih menunggu keputusan ujian saringan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 23 kes sembuh dilaporkan hari ini dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 185 kes.

“Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham mengambil kesempatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan nasihat kesihatan sepanjang cuti sekolah dan cuti am Awal Muharam bermula esok.

“Ramai yang mungkin merancang untuk pulang ke kampung serta mengambil kesempatan menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan. Ini termasuk aktiviti merentas negeri serta rancangan untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.

“Namun demikian, KKM menggesa orang ramai supaya tetap patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sambil mengamalkan normal dan kebiasaan baharu dalam segala aktiviti yang bakal dilakukan. Elakkan daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran sempena hari perayaan ini,” ujarnya.-Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.