Kadar inflasi Malaysia turun 1.3 peratus

52

19 OGOS: Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi utama, turun 1.3 peratus bulan lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan indeks keseluruhan itu didorong oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-0.6 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus).

Menurut beliau, indeks terbabit menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran namun indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.0 berbanding 133.2 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Kumpulan indeks itu menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus).

“IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Julai 2020 berbanding Jun 2020. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

“Indeks teras meningkat 1.1 peratus pada Julai 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.9 peratus), komunikasi (1.6 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.4 peratus),” jelasnya.

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

Mohd Uzir berkata, walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.7 peratus berbanding Jun 2020.

Beliau berkata, indeks bagi semua negeri juga menunjukkan penurunan antara -0.7 peratus hingga -2.2 peratus bagi Julai 2020 berbanding Julai tahun lalu.

Penurunan tertinggi, katanya dicatatkan oleh Melaka (-2.2 peratus), diikuti oleh Sabah dan Labuan (-2.1 peratus), Sarawak (-1.9 peratus) dan Kedah serta Perlis (-1.9 peratus).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.