Dr Noor Hisham dipilih Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan

198

19 OGOS: Selepas menerima gelaran Tan Sri kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipilih pula sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442.

Bagi Tokoh Maal Hijrah kategori antarabangsa pula, Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib dipilih menerima anugerah berkenaan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan sebentar tadi.

Majlis berkenaan yang berlangsung dalam suasana norma baharu itu diadakan di Masjid Negara.

Menerusi penganugerahan itu, tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa menerima pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.

Hadiah kepada tokoh terbabit disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf pelbagai pihak di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Tema sambutan kali ini ialah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ iaitu menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan kepada kekuatan modal insan, ilmu dan pengetahuan serta kecekapan pengurusan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.