Cadang pendekkan tempoh pengajian Giat Mara

61

19 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang memendekkan tempoh pengajian yang ditawarkan di Giat Mara di seluruh negara khususnya bagi kursus Pendawaian Elektrik.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bagaimanapun cadangan itu akan dibincangkan secara terperinci dengan Suruhanjaya Tenaga kerana pensijilan kursus berkenaan memerlukan akreditasi badan profesional itu.

“Kebanyakan kursus sekarang ini berasaskan pada masa, maknanya kalau hendak jadi seorang jurudawai mesti mengikut keperluan yang ditetapkan suruhanjaya itu, termasuk dari aspek tempoh masa pengajian untuk mendapatkan akreditasi mereka.

“Jadi perkara ini wajar dilihat kembali supaya pelatih kita dapat kemahiran yang sama dalam tempoh masa pendek dan pensijilan diberikan berdasarkan kemahiran mereka bukan mengikut jam yang ditetapkan seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke pusat Giat Mara Masjid Tanah di sini, hari ini.

Beliau berkata banyak manfaat boleh diperoleh sekiranya cadangan itu dapat dilaksanakan antaranya menjimatkan masa dan kos pelajar bahkan membolehkan mereka menyertai dunia kerjaya dengan lebih awal.

Katanya selain itu, pembayaran elaun pelatih dan kos pembelian bahan untuk digunakan dalam sesi pengajian turut dapat dijimatkan.

Sementara itu, Abd Latiff berkata pihak industri diminta mengkaji semula gaji yang ditawarkan kepada lepasan pusat Giat Mara yang dilihat masih rendah.

“Selepas mengikuti pengajian dalam tempoh yang panjang dan mereka akhirnya menjadi seorang yang berkemahiran tinggi dalam bidang tertentu dan kompeten, pihak industri perlu bersedia memberikan gaji yang tinggi,” katanya.

Pusat Giat Mara merupakan sebuah institusi latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu agensi di bawah KPLB dan sehingga kini terdapat 231 pusat berkenaan di seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.