Unjuran kadar pengangguran Malaysia 4.5 peratus

46

18 OGOS: RAM Ratings (RAM) menjangkakan kadar pengangguran Malaysia bagi tahun ini mencecah 4.0 hingga 4.5 peratus berbanding tahap asas biasa pada 3.0 hingga 3.5 peratus.

Agensi penarafan itu berkata, ini berikutan kegiatan perniagaan bukan penting dihentikan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan April lalu yang menyebabkan kehilangan kerja secara mendadak.

“Apabila PKP dilonggarkan secara beransur-ansur dari Mei, kadar aliran penggajian kembali stabil apabila perniagaan dibuka semula dan berlakunya pengambilan pekerja,” kata RAM dalam kenyataan.

Dari segi sektor, segmen berkaitan pelancongan dan pembuatan mencatat angka pertindihan yang tidak seimbang berbanding tenaga kerja secara keseluruhannya.

Pusat ekonomi utama di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang juga mencatatkan jumlah kehilangan kerja yang lebih tinggi berbanding agihan tenaga kerja kebangsaan.

Menurut RAM, lokasi-lokasi sama juga dijangkakan mendapat kesannya berikutan kekurangan aktiviti pelancongan dan perjalanan perniagaan susulan pelaksanaan kawalan pergerakan itu.

Menurutnya, sektor pembuatan meningkat semula secara kukuh pada Jun dengan kapasiti penggunaan pembuatan penting dan tidak penting masing-masing pada 83 peratus dan 70 peratus.

“Sektor perkhidmatan masih rendah, namun kapasiti perkhidmatan secara keseluruhannya berada pada 62 peratus pada Jun lalu.

“Selain itu, sektor-sektor pelancongan & hospitaliti dan pembinaan terus bergelut apabila kapasiti kadar penggunaannya sekitar 40 peratus dan 65 peratus mengikut jangkaan kami,” katanya.

Menurut agensi penarafan itu, pemulihan sektor bukan penting dan berorientasikan eksport adalah penting dalam usaha mengurangkan isu dalam pasaran tenaga kerja, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Ini penting dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila pelbagai insentif perniagaan dan isi rumah akan berakhir dalam suku keempat tahun ini. Tanpa prospek pekerjaan yang kukuh, kami menjangkakan perbelanjaan pengguna terhadap barang-barang keperluan secara relatifnya kekal tidak berubah pada tahun ini dan penurunan ketara bagi perbelanjaan yang tidak wajar.

“Sehubungan itu, penggunaan swasta dijangkakan mencatat penguncupan sebanyak 2.1 peratus pada 2020 yang lebih rendah berbanding aliran pertumbuhan 7.0 peratus pada tahun-tahun terdahulu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.