Sumbangan tahunan AAIBE diguna untuk rakyat

67

18 OGOS: Kerajaan mengesahkan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) menerima sumbangan tahunan sekitar RM60 juta sehingga RM90 juta bagi membangunkan industri bekalan eketrik yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, peruntukan ini digunakan secara berfasa untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik luar bandar di samping menguruskan impak tarik elektrik.

“Kita juga melaksanakan program seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri bekalan elektrik pembangunan sumber-sumber tenaga baharu dan tenaga boleh baharu.

“Ia juga digunakan untuk memberi latihan dan pendidikan bagi pembangunan sumber manusia untuk sektor eketrik, penggalakan kecekapan penggunaan elektrik serta pembangunan dan promosi industi bekalan elektrik,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan asal Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang menyatakan jumlah peruntukan tahunan Dana Akaun Amanah AAIBE dan kegunaan dana ini terhadap rakyat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Nizar berhubung punca dan usaha kerajaan dalam mempercepatkan proses pembayaran tunggakan AAIBE di samping jumlah tungakan terikini, Shamsul memberitahu sebanyak RM116.8 juta tunggakan sumbangan AAIBE belum dijelaskan penjana tenaga bebas (IPP) bagi tempoh setakat ini.

Beliau turut memberi jaminan tiada IPP yang akan terlepas daripada menjelaskan tunggakan sumbangan AAIBE terbabit.

“Kita akan sentiasa memberi peringatan kepada IPP di seluruh negara yang terlibat. Punca utama penangguhan pembayaran ini disebabkan pengambil alihan syarikat dan berlaku kerugian di kalangan IPP,”katanya. Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.