Skim mySalam bayar pampasan lebih RM31 juta

68

18 OGOS: Setakat ini kerajaan membelanjakan RM31,757,050 bagi membayar pampasan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghidap penyakit kritikal dan berdaftar di bawah Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, ini termasuk sebanyak RM4,144,000 dibayar kepada 518 individu yang menerima manfaat penyakit kritikal secara ‘one off’ berjumlah RM8,0000 seorang pada tahun 2020 (sehingga 30 Jun 2020).

Beliau berkata, kerajaan juga membayar manfaat hospitaliti bernilai RM2,313,800 sebagai pampasan kepada 6,597 orang bagi tempoh sama pada 2020.

Pada 2019, seramai 2,748 orang telah mendapat faedah manfaat penyakit kritikal sebanyak RM8,000 bagi setiap individu yang didiagnos dengan 45 penyakit kritikal dengan jumlah yang sudah dibayar adalah RM21,984,000, manakala seramai 8,946 orang pula menerima manfaat hospitaliti dengan pampasan berjumlah RM3,315,250.

“Ini bererti sehingga kini jumlah pampasan yang sudah dibayar kepada pemegang polisi secara keseluruhan adalah sebanyak RM31,757,050,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang meminta Menteri Kewangan menyatakan kesan pelaksanaan skim mySalam dan PeKaB40 sejak tahun 2018 termasuk statistik penerima untuk tahun 2018, 2019 dan 2020 (secara berasingan) mengikut pecahan negeri.

Menjawab mengenai status pelaksanaan skim mySalam untuk golongan berpendapatan sederhana (M40), Abd Rahim berkata sehingga kini kerajaan masih belum dapat merealisasikan perkara itu kerana terdapat kekangan dari segi perundangan.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 bermula 1 Januari 2020, kerajaan memutuskan bagi memperluas skim mySalam menerusi peningkatan had umur daripada 55 kepada 65 tahun untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangan mereka.

Penerima BSH individu bujang dan individu orang kurang upaya (OKU) juga layak menerima perlindungan terhadap 45 penyakit kritikal termasuk polio daripada 36 sebelumnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.