RUU COVID-19 ikut kerangka perundangan

47

18 OGOS: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 berjumlah RM45 bilion dibuat dengan mengambil kira semua kerangka perundangan negara termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kementerian juga membuat rujukan kepada kerangka negara lain dalam memastikan undang-undang yang diperkenalkan selaras dengan praktis yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa memastikan program dan projek yang dikenal pasti dalam pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi memberikan impak langsung kepada rakyat dan ekonomi dalam tempoh segera dan jangka sederhana.

“Kerajaan mempunyai keupayaan untuk menguruskan komitmen kewangan tambahan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi melalui pengenalan RUU ini.

“Kemampuan juga diukur sejauh mana kerajaan berupaya untuk kembali mematuhi disiplin fiskal sedia ada selepas tamat tempoh kuat kuasa akta ini,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kesemua dana bagi perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dimasukkan ke dalam satu Kumpulan Wang khas dan perbelanjaan kumpulan wang ini menjadi sebahagian daripada pengiraan defisit keseluruhan kerajaan.

“Dengan izin ‘it is on budget and not off-budget’. Malah, semua item perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pelan pemulihan disenaraikan dengan jelas di dalam RUU ini.

“Akta ini memerlukan kerajaan membentangkan laporan tahunan semua perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi seperti yang disenaraikan. Malah, sebarang pengumuman pakej rangsangan tambahan oleh kerajaan memerlukan pindaan kepada RUU ini, sekali gus bermakna ia memerlukan kelulusan Parlimen,” katanya.

Zafrul berkata, langkah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi ini tidak dibuat Malaysia saja, malah hampir kesemua negara dunia yang terjejas mengumumkan pakej sama bagi mengurangkan impak akibat penularan COVID-19, dengan anggaran sekitar AS$11 trilion (RM46.07 trilion). -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.