RM72 juta tampung pengurangan yuran UA

50

18 OGOS: Kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi menampung pengurangan yuran pengajian di universiti awam (UA) bagi semester kedua sesi akademik 2019-2020 membabitkan pelajar tempatan berikutan pendemik COVID-19.

Jumlah itu mengambil kira peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta dan penggunaan sumber dalaman UA sebanyak RM50 juta membabitkan seramai 523,318 pelajar UA di seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada keputusan itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman, berkata jumlah itu selepas kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama dan yuran perkhidmatan atau aktiviti UA hingga 15 peratus berikutan pandemik itu.

“Dalam hubungan ini, kementerian telah membuat rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai perkara ini. Hasil rundingan itu (bersama ibu bapa dan pelajar), kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama dan yuran perkhidmatan atau aktiviti UA hingga 15 peratus.

“Sebagai contoh, pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019-2020, pelajar warganegara Malaysia membabitkan peruntukan sebanyak RM72 juta dan jumlah itu mengambil kira peruntukan kerajaan sebanyak RM20 juta dan penggunaan sumber dalaman UA sebanyak RM50 juta.

“Sehingga kini, seramai 523,318 pelajar UA di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan itu,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan P Prababakaran (PH-Batu) yang meminta adakah kementerian berhasrat mengawal selia harga siling bagi setiap jurusan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kerana kos pendidikan semakin meningkat saban hari.

Mengenai hasrat IPTS menaikkan yuran pengajian, Mansor berkata ia perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian terlebih dahulu sambil menegaskan mereka tidak boleh berbuat demikian secara sewenang-wenangnya.

Mansor berkata yuran pengajian di Universiti Awam (UA) tidak membebankan pelajar dan ibu bapa kerana masih rendah dan boleh dikatakan hampir kepada percuma.

Katanya ini kerana kerajaan memperuntukkan sehingga 90 peratus subsidi bagi menampung kos sebenar yuran pelajar.

Dengan jumlah subsidi itu, beliau berkata pelajar cuma perlu menanggung 10 peratus kos yuran pengajian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.