RM500 sahaja mula labur Sukuk Prihatin

253

18 OGOS: Rakyat Malaysia boleh melabur dengan nilai serendah RM500 dalam Sukuk Prihatin iaitu satu inisiatif di bawah di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu usaha kerajaan membina semula negara pasca krisis pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana yang terkumpul akan disalurkan terus kepada inisiatif-inisiatif yang dapat menambah baik taraf kehidupan rakyat yang memerlukan.

Beliau memberitahu, kadar keuntungan adalah 2 peratus setahun bagi tempoh matang dua tahun manakala keuntungan akan dibayar pada setiap suku tahun.

“Anda juga boleh memilih untuk menyumbang jumlah prinsipal pelaburan dan ini akan diberi potongan cukai.

“Ayuh semua! Mari kita bersama memacu masa depan Malaysia dengan melabur di dalam Sukuk Prihatin!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan media menjelaskan, sukuk yang tidak mempunyai had pelaburan maksimum itu boleh dilanggan menerusi JomPAY atau DuitNow yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di negara ini.

Maybank merupakan bank pengedar utama bagi Sukuk Prihatin yang juga instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip tawarruq melalui pengaturan komoditi murabahah untuk rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

“Sukuk Prihatin akan diperuntukkan berdasarkan tarikh dan masa langganan yang paling awal. Tempoh tawaran bagi Sukuk Prihatin adalah dari 18 Ogos hingga 17 September 2020,” kata kementerian itu.

Kementerian Kewangan menambah, sukuk dengan sasaran jumlah keseluruhan terbitan bernilai RM500 juta itu merupakan instrumen yang sesuai untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan.

Untuk maklumat lanjut tentang terma dan syarat Sukuk Prihatin, sila hubungi bank-bank terlibat atau layari https://penjana.treasury.gov.my/ .

Get real time updates directly on you device, subscribe now.