Projek Wakaf Air bermula hujung 2020

85

18 OGOS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan projek Wakaf Air akan dapat beroperasi selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu model penubuhan berkenaan dimuktamadkan.

Beliau berharap dengan penubuhan Wakaf Air sekali gus dapat menyelesaikan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan ramai pemegang taruh.

“Pada masa ini KASA sedang dalam proses untuk memuktamadkan model tadbir urus Wakaf Air dengan mengadakan kerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia.

“Dengan ada Wakaf Air, kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan pembabitan awam dalam menjayakan agenda negara.

“Melalui kaedah ini, langkah-langkah mitigasi kewangan yang sesuai dan cepat dapat diambil bagi mengatasi isu kekangan peruntukan bagi membiayai penyelenggaraan dan penyediaan infrastruktur air luas bandar,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen PAS Kemaman Che Alias Hamid yang meminta menteri berkenaan menyatakan  secara terperinci rangka pelan dan rancangan kajian rintis pembangunan Wakaf Air di negara ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, satu Pasukan Petugas Penubuhan Tabung Wakaf Air Nasional ditubuh bagi meneliti konsep dan mencadangkan struktur tadbir urus yang efektif, berkesan dan selaras dengan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata pihaknya juga sedang membangunkan struktur tadbir urus dan mekanisme pelaksanaan Wakaf Air termasuk melaksanakan pelan komunikasi bagi mempromosikan model berkenaan.

“KASA sedia maklum bahawa bidang kuasa berhubung bekalan air luar bandar terletak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Oleh yang demikian, pihak KPLB akan dirunding dan dilibatkan secara aktif dalam pelaksanaan Wakaf Air. Inisiatif ini penting bagi menyelesaikan isu liputan bekalan air luar bandar secara holistik melalui kerjasama strategik melangkaui sempadan bidang kuasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.