Perjanjian UAE-Israel cabul perjuangan rakyat Palestin

73

18 OGOS: Perjanjian yang dimeterai Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel minggu lalu jelas mencabuli solidariti ummah yang menolak penjajahan rejim Zionis Israel terhadap Palestin.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dalam satu kenyataan berkata, mereka percaya keputusan itu tidak tepat dan bertentangan dengan perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan serta kebebasan.

“Keputusan UAE tidak memelihara kepentingan rakyat Palestin sebagaimana didakwa ramai pihak, yang secara lantang dan rasmi menolak keputusan UAE, melainkan ia merupakan peluang kepada Israel untuk menamatkan perbuatan jenayahnya, menjajah lebih banyak tanah, dan membunuh lebih ramai rakyat Palestin,” kata PCOM

Menurut PCOM, seperti diumumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS), Israel hanya akan menangguhkan pengilhakan di Tebing Barat.

PCOM turut meminta masyarakat antarabangsa menolak tindakan memulihkan hubungan seperti itu kerana ia hanya memberi lampu hijau kepada Israel untuk memperluaskan dasar penjajahan dan pencerobohan mereka ke atas Palestin.

Menurut kenyataan bersama mengenai memulihkan hubungan diplomatik yang dikeluarkan AS, UAE dan Israel pada 13 Ogos, delegasi dari Israel dan UAE akan bertemu dalam beberapa minggu lagi untuk memeterai perjanjian dua hala di beberapa bidang termasuk pelaburan, pelancongan, penerbangan terus dan keselamatan.

Israel juga akan menumpukan usahanya untuk memperluaskan hubungan dengan negara-negara lain di dunia Islam dan Arab.

“AS, Israel dan UAE yakin mungkin boleh mewujudkan hubungan diplomatik yang berjaya dengan negara lain dan akan bekerjasama untuk mencapai tujuan ini,” kata mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.