Patuh petua Speaker dan jangan selalu ponteng Dewan

95

18 OGOS: Masa rehat 10 minit sebelum pengundian Rang Undang-Undang di Dewan Rakyat tidak akan jadi isu jika ahli-ahli parlimen pembangkang rajin berada di dalam dewan dan mendengar petua atau ruling Speaker mahu pun timbalannya.

Sebab itu apabila Speaker Datuk Azhar Harun mengumumkan masa rehat 10 minit sebelum pengundian Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 semalam, ada ahli parlimen pembangkang ‘bising’.

Sebenarnya, pada 11 Ogos, Azhar sudah membuat petua berkenaan dengan proses belah bahagian berdasarkan SOP pencegahan wabak Covid-19 ketika beliau mempengerusikan persidangan.

parlimen

Selain soal mematuhi penjarakan fizikal, kapisiti atau bilangan individu terhad, had penumpang dalam lif, beliau turut menyentuh jarak perjalanan atara blok utama Dewan Rakyat dengan blok menempatkan ahli parlimen dan pentadbiran.

Memandangkan jarak antara kedua-dua blok agak jauh dan mengambil kira pelaksanaan SOP, agak sukar bagi ahli parlimen berada semula di dalam Dewan dalam tempoh dua minit selepas loceng dibunyikan.

Azhar kemudian mengambil keputusan untuk membuat petua berdasarkan Peraturan Mesyuarat 12(2), 46(4) dan 99 bagi proses belah bahagian dijalankan dengan loceng dibunyikan selama 2 minit dan persidangan ditempohkan selama 10 minit.

Ini bagi memberi masa kepada semua ahli parlimen sama ada penyokong kerajaan atau pun pembangkang kembali ke dalam Dewan untuk turut serta proses belah bahagian.

Tidak ada ahli parlimen yang membantah atau mempersoalkan petua tersebut tetapi malangnya, apabila proses itu dilaksanakan semalam, ada ahli parlimen pembangkang mempersoalkannya termasuk menuduh Speaker ‘merampas’ Dewan dengan meninggalkan persidangan selepas loceng memanggil ahli parlimen ke Dewan dibunyikan.

Sebenarnya adalah tidak wajar mempersoal keputusan yang sudah semua persetujui melainkan mereka yang ‘bising’ tiada di dalam Dewan ketika petua dibacakan.

Atau memang niat pembangkang sengaja mahu mencetuskan kekecohan seperti persidangan-persidangan sebelum ini bagi memberi gambarakan kepada rakyat di luar kononnya Dewan sesuka hati merubah Peraturan Mesyuarat.

Tentu amat malang kerana sebelum ini ahli parlimen pembangkang kerap menggunakan Peraturan Mesyuarat demi kepentingan mereka tetapi dalam masa sama mereka sendiri tidak akur termasuk patuh petua Speaker.

Inilah kesannya jika anak-anak murid suka ponteng kelas dan tidak mendengar atau tahu apa dikatakan guru tetapi bila mereka gagal, guru yang dipersalahkan.

Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 semalam, lulus dengan 111 undi menyokong dan 106 menolak selepas undian belah bahagian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.