Muhyiddin hargai sokongan Pas

143

18 OGOS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pimpinan Pas yang menyambut baik penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke dalam Muafakat Nasional.

Beliau yang juga Presiden BERSATU menyatakan perkara itu pada sesi ramah mesra bersama Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Senator Pas di Parlimen hari ini.

Berkongsi perkara itu menerusi Facebook beliau malam ini, Muhyiddin berkata, beliau juga amat menghargai sokongan dan dokongan yang diberikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli-Ahli Parlimen parti itu kepada kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya.

“Saya juga amat berterima kasih kepada pimpinan Pas yang menyambut baik penyertaan BERSATU dalam Muafakat Nasional,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook beliau itu.

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.

Dalam pengumuman menerusi rakaman video itu, Perdana Menteri berkata, penyertaan parti itu dalam satu jemaah besar menerusi Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.