Lantikan politik GLC, PH lupa janji sendiri

116

18 OGOS: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ‘pedih telinga’ apabila Ahli Parlimen BN Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mendedahkan seramai 40 pemimpin mereka dilantik memegang jawatan kanan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dahulu.

Noh berkata, amalan itu bertentangan dengan manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berjanji tidak akan membuat lantikan politik dalam GLC sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

“Saya dengar Bagan, saya rasa nak ketawa pun ada sebab teori dia tak betul, sampai bila nak tipu rakyat.

“Nak bagitahu saya ada salinan nak baca, kerajaan PH akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri di kalangan professional dan bukan kaitan politik mereka,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa, sepanjang 22 bulan PH memerintah, seramai 12 ahli DAP, 11 ahli PKR dan 17 ahli Parti Amanah Negara (PAN) dilantik dalam agensi kerajaan dan GLC.

Pendedahan Noh itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen PH termasuk Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) tidak berpuas hati dan berterusan mengganggu perbahasan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berjaya mengawal keadaan dan suasana kembali tenang. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.