Kaukus kaji RUU antilompat parti

50

18 OGOS: Satu kaukus Ahli Parlimen akan ditubuhkan bagi mengkaji cadangan rang undang-undang antilompat parti agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan kebebasan berpersatuan.

Penubuhan kaukus itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan telah mendapat persetujuan daripada Barisan Nasional (BN), PAS, DAP, GPS dan PKR yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Abdul Aziz.

Mohamed Nazri berkata, undang-undang itu adalah baik bagi menghentikan tindakan lompat parti oleh Ahli-ahli Parlimen.

“Kita telah menghadapi lebih daripada 30 tahun dan tiada apa yang dibuat. Memang ada negeri telah dibuat namun kita tahu mahkamah paling tinggi akta ini tidak boleh dikuat kuasa kerana menghalang hak asasi Ahli Parlimen dan Dewan Rakyat.

“Kita kena lakukan sesuatu untuk hentikan perbuatan ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menambah, pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, pakar Perlembagaan, pengamal undang-undang dan ahli akademik akan diambil kira dalam usaha menggubal rang undang-undang tersebut. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.