COVID-19: Rancangan kerajaan PN komprehensif

28

18 OGOS: Ahli Parlimen GPS Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, melahirkan keyakinan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai rancangan yang komprehensif bagi mengatasi masalah krisis ekonomi akibat penularan wabak COVID-19.

Rohani berkata beliau percaya kerajaan sudah mengambil kira pelbagai aspek sebelum memutuskan sebarang bentuk bantuan diberikan kepada golongan yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Berikutan itu Rohani berkata kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah  Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mempunyai tujuan khusus untuk kumpulan sasaran.

“Sebagai contoh untuk mengurangkan jumlah pengangguran kerajaan memperuntukan RM10 bilion di bawah PENJANA bagi meringankan beban 3.3 juta rakyat terjejas pendapatan akibat COVID-19 menerusi pemberian bantuan tunai secara ‘one off’.

“Pemberian bantuan berkenaan dapat membantu rakyat yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 meneruskan kelangsungan hidup termasuk makanan asas, menyediakan kelengkapan untuk petugas barisan hadapan,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Terdahulu, Rohani memuji tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 adalah keputusan cukup besar dan mencabar.

 Rohani berkata kerajaan juga turut memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibeberapa lokasi tertentu bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.